KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membidas sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dilihat terlalu taksub dengan cadangan membina jambatan bengkok di Johor.
Menurut beliau, sikap mantan Perdana Menteri itu yang terlalu obses dengan projek tersebut perlu dinilai dengan teliti kerana ia sebenarnya mengundang beberapa implikasi tidak baik kepada negara.
“Kita sudah ada dua `link’. Adakah perlu `link’ ketiga dan adakah perlu dibuat secara bermasam muka antara dua negara (Malaysia dan Singapura).
“Apa baik buruknya? Tidakkah lebih baik peruntukan besar `icon bad diplomacy’ itu diguna bagi meringankan pelbagai beban rakyat pada masa ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Annuar mempersoalkan tindakan Mahathir yang berulang kali membangkitkan desakan kepada kerajaan supaya membina `jambatan aneh’ tersebut hingga menganggu-gugat politik dalam negara.
Katanya, semua pihak dalam Malaysia memahami sikap Singapura yang kadang-kala mengguris hati negara ini, tetapi Mahathir masih lagi gemar mengambil pendekatan `Hold the bull by the horn’.
“Lain pemimpin lain caranya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kita harus terima situasi kerana masa terus beredar.
“Gunakanlah kebijaksanaan. Bukankah kerana itu kita diberi mandat. Hanya yang berakar tunjang bisa menegak. Hanya berakal panjang tahan digasak,” katanya.
Mahathir semalam dilaporkan meluahkan rasa kecewanya terhadap pimpinan kerajaan selepas beberapa cadangan pembangunan dipersetujui selama ini tidak dilaksanakan.
Menurut laporan sebuah portal berita, Mahathir mendakwa idea bagi membina jambatan bengkok di Johor itu telah dipersetujui sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara.
Kata Mahathir, pembinaan tersebut perlu dilaksanakan meskipun negara Singapuran tidak memberikan persetujuannya kerana kawasan projek itu tidak melibatkan negara jiran itu.
– MYNEWSHUB.CC
https://youtu.be/6ndzRj2F3ZQ