JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Selatan menahan sebuah kapal dagang dari China kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai semalam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Johor Bahru, Kepten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, siastan mendapati kapal Yue Dian 102 itu didaftarkan di Shenzhen.
“APMM mengesan kapal dagang itu pada pukul 4 petang hasil maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut (Swasla) ketika bersauh di kedudukan lebih kurang 4.1 batu nautika Barat Daya Tanjung Piai dan sebuah kapal peronda APMM KM Nipah ditugaskan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan ,kapal tersebut gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Pengarah Laut Malaysia untuk berlabuh tunggu,†katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Aminuddin berkata, pemeriksaan terhadap kapal dagang itu menemui 26 anak kapal warga China berusia antara 23 hingga 50 tahun dan tiga daripada dibawa ke Pejabat APMM Maritim Johor Bahru untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, pemilik kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1), (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.
“Jika didapati bersalah, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. – MYNEWSHUB.cc