LONDON – Arsene Wenger berkata Arsenal perlu berada dalam keadaan terbaik sehingga penghujung musim ini seandainya mahu mencabar kejuaraan dan kekal bersedia jika Chelsea melakukan kesilapan.
Arsenal membelasah Liverpool 4-1 di laman sendiri, Emirates menerusi gol Hector Bellerin, Mesut Ozil, Alexis Sanchez dan Olivier Giroud dan kini tujuh mata di belakang Chelsea di puncak liga.
Sekalipun Chelsea yang dijadual akan ditemui Arsenal dalam tempoh dua minggu di Emirates masih memiliki kelebihan satu perlawanan, Wenger berkata pasukan bimbingannya kini perlu fokus untuk menang semua perlawanan selepas ini.
“Jika peluang itu muncul dengan sendirinya, kami perlu kekal bersedia dan Chelsea perlu berada dalam keadaan tidak sempurna,” kata Wenger. “Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ialah menjadi sempurna.
“Chelsea mempunyai program yang sukar dan kami juga sama.
“Kami mahu kekalkan momentum, menang-menang, menang dan menang lagi. Kami tahu kedudukan empat teratas di tangan kami ketika ini. Namun bukan kejuaraan.
Cicir banyak mata
“Kami memandang ke depan, namun kami melihat pada perlawanan kami selepas ini kerana itulah yang kami boleh kawal. Apa yang kami boleh katakan secara matematik ialah kedudukan empat teratas.”
Dalam pada itu, Wenger turut menegaskan aksi ketika menewaskan Liverpool adalah persembahan sebenar Arsenal seandainya tidak dilanda masalah kecederaan selepas Piala Dunia tahun lalu.
Malah tidak mustahil jurang bersama Chelsea ketika ini kecil.
“Kami mungkin lebih baik,” katanya mengulas situasi yang melandanya di awal musim lalu. “Kami kehilangan beberapa pemain utama pada awal musim di mana kami melepaskan banyak mata.
“Apabila kamu melihat mata yang kami dapat apabila semua pemain kembali, saya percaya ia menunjukkan kepada kami yang kami mempunyai kualiti untuk berada di puncak,” kata pengurus kelahiran Perancis itu. – Agensi