NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) menyalurkan bantuan bernilai AS$10 juta (RM36 juta) untuk mangsa gempa bumi kuat di Nepal pada Sabtu lalu, yang mana hingga kini angka korban sudah lebih 4,000 orang termasuk sekurang-kurangnya empat warga Amerika.
Pentagon juga mengarahkan 24 komando tentera yang sedang menjalani latihan di Nepal sejak sebelum gempa, untuk turut terbabit sama dalam usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan.
Pasukan komando berkenaan menjalani latihan altitud tinggi, kini turut terbabit dalam usaha membantu mencari mangsa terutama di sekitar laluan utama pendakian Everest, kata jurucakap Pentagon Kolonel Steven Warren.
Seiring kebimbangan memuncak mengenai krisis kemanusiaan berikutan kekurangan bekalan makanan dan air, Setiausaha Negara AS John Kerry dan Pengarah Pentagon Ashton Carter mengumumkan pakej bantuan terbaharu berkenaan serta penghantaran pesawat tentera kedua untuk membawa pasukan mencari dan menyelamat.
Kelmarin 50 anggota menyelamat sudah berlepas dengan pesawat C-17 dan 80 orang lagi akan berlepas dengan pesawat kedua hari ini menjadikan keseluruhan 130 anggota dan 45 tan kargo, kata jurucakap Jabatan Negara, Jeffrey Rathke.
Pasukan itu akan menyelaras misi kemanusiaan dan menyelamat mangsa gempa. – AFP