KUALA LUMPUR – ASEAN perlu meningkatkan pembabitannya dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi memperkukuh hubungan dua hala antara dua blok, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.
“Perundingan tahunan mesti disokong dengan interaksi yang lebih mendalam pada peringkat kumpulan kerja,” katanya membaca kenyataan selepas Perundingan ke-13 Menteri-menteri Ekonomi Asean-Pesuruhjaya Perdagangan EU yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Asean ke-26.
Turut hadir Pesuruhjaya EU bagi Perdagangan Cecilia Malmstrom dan Naib Pengerusi Majlis Perniagaan EU ASEAN Donald Kanak.
Perundingan sebelum ini berlangsung pada 2013.
“Saya mencadangkan supaya pembabitan dengan EU ditingkatkan,” kata Mustapa.
Beliau berkata keterbukaan dan kesediaan ASEAN untuk melibatkan diri dengan penggiat global dalam Perjanjian Perdagangan Bebas dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi, secara kolektif dan dua hala, sudah membuahkan hasil.
Hari ini, rantau ini menjadi pusat kepada banyak syarikat utama dunia.
Lebih 20,000 syarikat Amerika, Jepun dan EU membuka pejabat masing-masing di rantau ini.
“ASEAN menerima baik pelaburan EU ke rantau ini. EU merupakan pelabur terbesar di rantau ini dengan pelaburan berjumlah US$94 bilion dari 2010 hingga 2013. Pelaburan EU ke ASEAN pada 2013 menyumbang 22 peratus – US$27 bilion,” katanya.
Pelaburan dalam pelbagai (sektor), katanya dan menambah banyak perusahaan kecil dan sederhana kini memasuki ASEAN selain syarikat terkemuka EU.
ASEAN, katanya memperakui dan menghargai bantuan bermakna serta inisiatif pembangunan kapasiti yang dilaksanakan dalam Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi dan Teknikal ASEAN-EU.
“Program-program ini memberi manfaat besar kepada rantau ini,” kata Mustapa.
EU ialah rakan dagang kedua terbesar ASEAN manakala ASEAN ialah rakan dagang ketiga terbesar EU di luar Eropah selepas Amerika Syarikat dan China.
Dagangan ASEAN-EU berjumlah US$246.2 bilion. – BERNAMA