PELAKON dan pengacara popular, Awal Ashaari mendedahkan dia kini dalam proses mendapatkan seorang pemandu peribadi dalam masa terdekat bagi memudahkan perjalanan rutin hariannya.
Hujung Mac lalu, Awal dan rakan baiknya, Izuan Mokhtar terlibat dalam kemalangan jalan raya di Melaka ketika dalam perjalanan mengacarakan program Melodi yang bersiaran setiap hari Ahad.
Selain itu, suami kepada aktres Scha Al-Yahya ini juga mengatakan dia dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya tidak memandu kenderaan buat sementara waktu sehingga keadaan kesihatan betul-betul sembuh seperti sedia kala.
“Saya mungkin akan mencari pemandu dalam masa terdekat supaya mudah untuk saya bergerak kemana-mana dan tidak menganggu sesiapa terutama isteri saya yang sibuk bekerja.
“Buat masa sekarang doktor menasihatkan saya supaya tidak memandu dan saya masih mencari-cari pemandu yang sesuai bagi membantu saya bergerak membuat rawatan susulan,” katanya memetik mStar.
Selepas kemalangan yang dialami, Awal mengakui dia berasa sedikit trauma untuk memandu dan jalan penyelesaiannya, dia kini sering menggunakan khidmat teksi untuk membawanya ke tempat yang ditujui.
“Banyak kali juga saya menggunakan perkhidmatan teksi sekarang ini sehingga mereka sudah kenal saya dan bertanya keadaan saya selepas kemalangan,” katanya lagi yang kini terpaksa menolak beberapa tawaran kerja berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Hanya rancangan hiburan Melodi sahaja yang akan terus diterajui olehnya memandangkan Sri Pentas berada berdekatan dengan kediamannya dan hanya bersiaran selama satu jam sahaja.
Sementara itu, semalam Awal mengadakan majlis kesyukuran di sebuah restoran di Publika yang turut dihadiri rakan artis antaranya Dynas Mokhtar, Lisa Surihani dan Yusry Abd Halim.
Majlis doa selamat itu turut dihadiri oleh adik-adik dari Tahfiz Al-Ghafran, Paya Jaras, Sungai Buloh. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=FCBaOjTiBm4