BEIJING  Sekumpulan pekerja China yang sibuk memperbaiki sebatang jalan rosak di bandar raya Heyuan, wilayah Guangdong, terkejut apabila menemui puluhan telur dinosaur, lapor media tempatan pada Rabu.
Penemuan sebanyak 43 butir telur haiwan prasejarah itu, termasuk 19 daripadanya masih kukuh, kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa wilayah di samping pakar purba yang kemudian bergegas ke lokasi tersebut.
Setelah diteliti, kesemua telur itu dianggarkan berusia antara 65 juta hingga 230 juta tahun, atau secara tepat ketika zaman Mesozoic; tempoh haiwan dinosaur besar seperti Tyrannosaurus menguasai planet Bumi.
Pakar arkeologi, Du Yuanli, yang menyelia sebuah muzium tempatan menjelaskan, puluhan telur itu dipercayai berasal daripada 14 jenis fosil berbeza dengan saiz ukuran paling besar memiliki diameter 13 sentimeter.
“Kami masih meneliti untuk memastikan usia sebenar dan spesies telur-telur itu, kerana ia dijumpai di batuan pasir merah bawah tanah, dalam lingkungan tempat telur-telur dinosaur sering ditemui,” kata beliau.
Heyuan juga dikenali sebagai ‘titik panas’ fosil dinosaur termasuk tulang belulang, jejak kaki dan puluhan telur haiwan primitif raksasa itu kerap dijumpai di beberapa lokasi di sekitar bandar raya tiga juta penduduk tersebut.
Yuanli turut meminta penduduk agar lebih berwaspada jika mereka menemui apa-apa fosil haiwan purba, bahkan meminta mereka segera melaporkan penemuan tersebut kepada pihak pemerintah.
Dianggarkan sejak 20 tahun lalu, lebih 13,000 butir telur dinosaur ditemui di Heyuan yang dalam bahasa Mandarin bermaksud, punca air sungai; sekali gus membuktikan kawasan itu memang habitat haiwan purba.
Pada 2004, Muzium Fosil Dinosaur Heyuan mencatat sejarah dalam buku Guinness World Records apabila diiktiraf menyimpan koleksi telur dinosaur dengan jumlah terbesar di dunia: 10,008 butir. – Agensi/A.AMREE