PUTRAJAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah berhubung dengan pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mendapatkan keputusan kes doping Datuk Lee Chong Wei sebelum tempoh tiga minggu seperti yang ditetapkan.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata sekira dibenarkan, pihaknya mahu Chong Wei beraksi dalam dua acara sukan utama iaitu kejohanan Piala Sudirman dan Sukan SEA.
“Kita akan ambil inisiatif agar kita tidak perlu tunggu sehingga tiga minggu. Kita semua sudah jalankan tanggungjawab sediakan pembelaan terbaik untuk Chong Wei…lepas itu hanya harap segala pembentangan dan hujah yang dinyatakan beri kesan positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Persidangan Antarabangsa Perubatan Sukan dan Sains di sini malam tadi.
Persidangan bermula Isnin hingga Khamis itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Pada 11 April, jaguh perseorangan negara itu menghadiri prosiding kes dopingnya yang didengar tiga anggota panel BWF di Amsterdam dan keputusan bakal diketahui dalam tempoh tiga minggu.
Chong Wei, 33, digantung sementara oleh BWF sejak 11 Nov 2014 selepas didapati menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, pada Ogos tahun lalu. – BERNAMA