BARU selesai membayar wang ikat jamin untuk sembilan pertuduhan yang didakwa ke atasnya sebelum ini, kartunis pro pembangkang, Zunar ataupun Zukiflee Anwar Ulhaque ditahan semula oleh pihak polis bagi tuduhan lain.
Peguam Latheefa Koya mengesahkan tangkapan yang dibuat terhadap kartunis itu di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada tengah hari tadi.
[TERDAHULU: Zunar Didakwa Dengan Sembilan Tuduhan Menghasut]
Memetik kenyataan Latheefa seperti disiarkan portal The Malaysian Insider,” Dia diberi 30 minit untuk makan tengah hari sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.”
Menurut peguam itu lagi, Zunar ditahan untuk siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Zunar dipercayai ditahan berhubung siasatan terhadap sekeping foto di laman Facebook yang menampal wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas badan milik Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang memakai pakaian lokap berwarna ungu.
Sebelum ini, kartunis bagi ruangan di akhbar Harakah itu telah didakwa atas sembilan tuduhan menghasut melalui  Twitter peribadinya tentang sabitan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zunar dikatakan berbuat demikian pada hari keputusan perbicaraan kes Liwat II bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diumumkan, iaitu pada 10 Februari lalu.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Zunar Ditangkap Semula Selepas Bayar Wang Jaminan