KAHERAH – MESIR. Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza bersama kira-kira tujuh tan bekalan makanan dan ubat-ubatan selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Ahad.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 11 pengamal media, lapan sukarelawan dan seorang doktor tiba di lapangan terbang itu pukul 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).
Naib presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan yang tiba di Kaherah sebelumnya bersama kumpulan pertama berkata bekalan berkenaan akan disimpan di Dewan Malaysia di Abbasiah, kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Kaherah.
“Kami akan cuba mendapatkan pelepasan dari kargo lapangan terbang dan mengkaji sama ada kami boleh memindahkan semua bekalan dari terminal ke Abbasiah hari ini bersama tiga tan metrik bekalan yang kami bawa sebelumnya bersama kumpulan pertama di terminal,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Kumpulan pertama lapan orang tiba di Kaherah, Khamis lepas sementara baki 65 anggota misi kemanusiaan diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka berlepas dari KLIA, Selasa ini.
Pada masa ini, Mohd Farid berkata kumpulan pengurusan KPIM di Malaysia dan Kaherah masih berusaha mendapatkan permit untuk memasuki Gaza.
Kumpulan itu merancang untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bersama 40 tan metrik bekalan makanan dan ubat-ubatan, Rabu ini.
Bantuan kemanusiaan itu adalah untuk mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, yang menjadi sasaran serangan hebat oleh tentera Israel.
Setakat ini lebih 2,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terkorban dalam serangan itu. – BERNAMA
KUALA LUMPUR – Belum ada sebarang pengesahan berkaitan letupan di udara melibatkan helikopter malang yang terhempas di Semenyih petang semalam, sebagaimana dilaporkan beberapa media, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Tiong Lai berkata, siasatan awal masih berjalan dan selagi siasatan belum selesai, khabar angin mengenai letupan itu dianggap tidak benar.
“Tidak ada sebarang maklumat lain (tentang letupan), siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kediaman Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis di The Mines, Seri Kembangan hari ini.
Jamaluddin bersama-sama lima yang lain terkorban dalam kemalangan itu.
Jamaluddin, yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias serta empat yang lain sedang dalam penerbangan dari Pekan, Pahang, ke Subang, Selangor, apabila helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih.
Empat lagi ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi Aidana Baizieva; Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.
Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, ‘kotak hitam’ akan memberi petunjuk penting mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada helikopter malang berkenaan.
Katanya, siasatan tiga pihak, melibatkan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Polis Diraja Malaysia telahpun bermula sejak semalam, termasuk proses menghasilkan laporan awal tragedi berkenaan.
Hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat dipetik sebagai berkata, kotak hitam helikopter itu ditemui pada 11.30 pagi tadi. – BERNAMA