BESUT – Bidang animasi boleh berkembang maju di negara ini dan mampu menyediakan peluang pekerjaan serta pulangan yang besar kepada negara, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan pihak swasta untuk melatih lebih ramai tenaga mahir dan pakar dalam bidang tersebut pada masa akan datang.
“Industri animasi adalah industri yang boleh menjana pekerjaan selain boleh menjana ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan negara. Animasi bukan untuk mainan semata-mata, malah juga untuk pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program animasi Besut di sini, Sabtu.
Beliau berkata ketika ini beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Kolej Komuniti telahpun memperkenalkan program Diploma in Games Art animasi 3D dan pengajian sijil animasi 3D dan 2D di enam kolejnya di seluruh negara termasuk satu di Besut.
Menurut beliau Kolej Komuniti kini bukan sahaja menawarkan latihan dalam bidang kulinari, jahitan dan pertukangan malah juga bidang berteknologi tinggi sesuai dengan slogan ‘High Tech High Value’.
Idris berkata ketika ini bidang tersebut sedang berkembang dan mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat yang telah maju dalam bidang animasi di dalam dan luar negara.
Tenaga pengajar, katanya, akan ditambah dari semasa ke semasa di samping menjemput tenaga pengajar dari luar.
Dua puluh syarikat yang pakar dalam bidang animasi menyertai program animasi dua hari di Besut bermula hari ini.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Datuk Amir Md Noor berkata kini terdapat 12 pelajar diploma Games Art animasi 3D yang terlibat dalam projek pembangunan perisian permainan F1 bernilai RM25 juta yang dijangka dilancarkan Jun ini. – BERNAMA