Awal Jun depan, barisan selebriti Bollywood seperti Bipasha Basu dan Anil Kapoor bakal memeriahkan Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) ke-16 yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Dalam satu sidang media hari ini, Bipasha dan Anil hadir bagi menguar-uarkan berita tersebut kepada peminat tempatan.
Menurut Bipasha, dia gembira kerana berpeluang menghiburkan pengikutnya di sini.
“Ketika IIFA diadakan di Macau pada 2009, saya demam tetapi tetap membuat persembahan kerana mahu menggembirakan hati peminat,” ujar Bipasha seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Dalam pada itu, Anil pula tidak sabar menantikan berlangsungnya acara ini kerana ia merupakan suatu pesta yang menghimpunkan seluruh warga industri perfileman India.
“Selepas bekerja keras sepanjang tahun, IIFA adalah ruang terbaik untuk berehat dan meraikan kejayaan.
“Malaysia juga antara negara yang sering menerima kunjungan pelancong dari India dan saya yakin jumlahnya akan bertambah dengan penganjuran IIFA di sini, tahun ini.”
Antara pelakon lain yang dijadualkan turun ke Kuala Lumpur bagi IIFA kali ini ialah Dia Mirza, Sridevi, Parineeti Chopra, Arjun Kapoor, Boney Kapoor, Fawaad Khan dan Jacqueline Fernandez.
Tanggal 7 Jun hadapan dipilih sebagai tarikh berlangsungnya IIFA ke-16 dan bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Ini merupakan kali kedua Malaysia dipilih menjadi tuan rumah setelah acara sama diadakan pada 2002.
– MYNEWSHUB.CC
Sedutan IIFA 2002 Yang Diadakan Di Malaysia
https://www.youtube.com/watch?v=f3wrFN1z66U