PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan hotel dan pemilik restoran minggu ini berhubung semakan semula caj perkhidmatan.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, perjumpaan tersebut perlu memandangkan terdapat beberapa kekangan berikutan implikasi perundangan yang melibatkan perjanjian kolektif yang dimeterai antara majikan dan pekerja.
Beliau berkata, hasil kajian kementerian dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati para pengguna menolak seratus peratus caj perkhidmatan itu.
“Isu ini bukanlah begitu rumit tetapi ia melibatkan Perjanjian Bersama (Collective Agreement) dan Akta Industri.
Oleh itu, kita perlukan sedikit masa untuk mengeluarkan definisi semua caj yang dikenakan secara terperinci,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini, hari ini. – BERNAMA