LAZIMNYA amat jarang benar melihat kesatuan sekerja yang jenis ’satu kepala’ dengan pihak pengurusan apatah lagi boleh pula duduk santai minum teh sambil ketawa bersama-sama dalam suasana penuh harmoni ketika membuat tuntutan itu dan ini.
Kebiasaan yang kita tahu, kesatuan lantang bersuara ’hentam’ majikan dengan segala ancaman tindakan perusahaan seperti piket, mogok atau protes sambil memakai lencana tertentu seolah-olah mereka pula jadi bos yang bebas mengarah begitu begini.
Ironi, ketika ramai berdebar melihat kelahiran semula Malaysia Airlines System (MAS) versi baharu atau popular disebut NewCo menjelang 1 September (daripada tarikh asal 1 Julai) ini; sebuah kesatuan dalam syarikat itu membuat ’gempar’ luar biasa.
MAS Employees’ Union Peninsular Malaysia (MASEU) yang terkenal dalam kalangan media tempatan sering ’menongkah arus’ tiba-tiba dilaporkan meminta 6,000 staf MAS yang berasa tidak layak menyertai NewCo agar berhenti sahaja secara sukarela.
Pengumuman yang amat mengejutkan itu dilaporkan sebuah portal berita tempatan dengan memetik Timbalan Setiausaha Agung MASEU, Kamarudin Abdul Rashid pada 8 April lalu dan dijangka membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Butiran terperinci tersebut untuk kesemua 20,000 petugas supaya sedia berundur tanpa paksaan akan dimaklumkan tidak lama lagi sekali gus memudahkan pengurusan syarikat penerbangan kebangsaan itu tidak ’pening kepala’ bagi membuang pekerja.
Difahamkan MAS NewCo akan mula menghantar notis penamatan kepada 6,000 kakitangan pada 1 Jun depan dan serentak pada tarikh sama, 14,000 petugas yang terpilih sebagai perintis menyertai entiti baharu turut akan menerima surat tawaran baharu.
Namun daripada keseluruhan 20,000 staf lama yang diuji untuk benar-benar layak jadi perintis MAS NewCo, nasib 6,000 lagi yang gagal terpilih tidak dibiarkan begitu sahaja, malah MAS mewujudkan Pusat Pembangunan Korporat khusus untuk melatih semula staf yang akan diberhentikan untuk memasuki pasaran pekerjaan sesuai dengan bakat kakitangan.
MASEU ujar Kamaruddin, masih positif capai persetujuan dengan pengurusan MAS NewCo demi memastikan kebajikan 6,000 petugas yang diberhentikan tetap dibela dan berbeza pendirian dengan Kesatuan Anak-anak Kabin Kebangsaan (NUFAM).
Ia susulan pandangan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat baru-baru ini yang menjelaskan pelan pemulihan semula perlu diteruskan dan penamatan ribuan staf terlibat tidak dapat dielakkan bagi menyelamatkan MAS daripada muflis.
Respons positif MASEU nyata berlawanan dengan kenyataan negatif NUFAM sehari sebelum itu yang sudahlah tidak diiktiraf pihak pengurusan, sebaliknya menuntut kekalkan kesemua 20,000 pekerja meskipun dibayar gaji paling rendah di rantau ASEAN.
Kamaruddin mendakwa ’beribu’ kakitangan MAS sedia berhenti secara sukarela tetapi apa yang MASEU perlu tegas, petugas bermasalah patutnya berasa amat malu untuk kekal dalam MAS NewCo sehingga menjejaskan kakitangan jujur.
Menurut sumber dalaman, diangggarkan 1,000 staf MAS kerap minta cuti sakit dengan sijil perubatan atau MC diragui sah dan ini belum lagi pelbagai alasan lain sampai memeningkan kepala pihak pengurusan sendiri.
Seorang bekas juruterbang MAS dalam laporan media portal bahkan menceritakan budaya kerja syarikat udara tersebut selama ini kurang cekap apabila suka mengambil masa terlalu lama untuk memproses sesuatu perkara penting dan perlu disegerakan.
Bayangkan, juruterbang itu memberi contoh hanya seorang kerani di syarikat penerbangan yang dia bertugas kini boleh membuat tiga kerja berbeza, tetapi di tempat lamanya di MAS, tiga kerani diperlukan untuk melakukan satu kerja yang sama.
Inilah yang wajar dipandang berat MASEU demi memastikan MAS NewCo tidak mewarisi cara kerja ketinggalan zaman dan bukan seperti NUFAM yang cuma ’bising’ tanpa peduli jika syarikat udara kebangaan negara kita langsung bungkus gulung tikar.
Dari sudut perniagaan, mengekalkan jumlah pekerja ramai daripada yang diperlukan tidak masuk akal. NUFAM yang konon mewakili krew kabin semua syarikat pengangkutan udara di Malaysia sebagai sebuah kesatuan kebangsaan, sepatutnya perjuangkan isu dan hak anak kabin syarikat penerbangan lain termasuk AirAsia, Malindo dan terbaharu, FlyMojo.
Peliknya setakat ini NUFAM hanya berani ’serang’ MAS. Apakah motif NUFAM ’pilih bulu’ cuba sedaya upaya menjejaskan pemulihan MAS? Bukankah lebih baik daripada cuba sabotaj MAS, mereka bela nasib anak kabin syarikat penerbangan Malaysia yang lain?
Dalam hal ini, MASEU belum terlambat bertindak memperbetulkan keadaan sebelum jadi lebih parah kerana bukan mudah petugas sanggup berhenti sukarela dan kesatuan ini harus tampil memastikan perintis MAS NewCo adalah benar-benar sesuai.
Perlu diingat MASEU harus berterima kasih terhadap 6,000 staf terbabit yang sedia berkorban, namun jangan pula marah jika ada petugas bermasalah enggan dengar seruan MASEU, malah terus kekal dalam MAS NewCo mencetuskan huru-hara kemudian hari kelak.