MANA silapnya? Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kes kecederaan dan kehilangan nyawa membabitkan kanak-kanak berlaku secara bertimpa-timpa.
Semalam, negara dikejutkan dengan kematian tragis seorang budak perempuan berusia enam tahun yang terjatuh dari tingkat dua pusat beli-belah Kenanga Wholesale City.
Pada hari sama, seorang bayi berusia tiga bulan menemui ajal apabila terjatuh dari tingkat dua sebuah pangsapuri bersama seorang kanak-kanak berumur enam tahun ketika ditinggalkan pengasuh di Kajang, Selangor.
[BERKAITAN: Punca Kanak-Kanak Maut Kerana Penjaga Leka Dengan H/P?]
[BERKAITAN: Bayi Tiga Bulan Maut, Jatuh Dari Tingkat 2 Rumah Pengasuh]
Melalui saluran media sosial pula, beberapa kes kecuaian di pusat asuhan kanak-kanak turut didedahkan.
Antara yang mendapat perhatian adalah kejadian seorang bayi digigit sehingga berbekas seluruh badan ketika si penjaga leka membancuh susu.
Dalam satu lagi kes, seorang bayi patah tangan akibat diduduk oleh kanak-kanak lain, dan kecederaan tersebut dikatakan tidak langsung disedari pusat asuhan hinggalah ibu bapanya membawa bayi tersebut pulang ke rumah.
Rangkuman yang boleh dibuat daripada kesemua kes di atas, segelintir penjaga tanpa mengira ibu bapa, pengasuh mahupun pihak taska kadangkala mengambil sambil lewa peranan mereka dalam mengawal keselamatan kanak-kanak.
Selain atas dasar tanggung jawab, mungkin mereka dan ramai lagi anggota masyarakat yang tidak tahu, ibu bapa dan penjaga sebenarnya tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dalam memastikan keselamatan si kecil.
Dasar perlindungan kanak-kanak telah digubal bagi menghalang sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap golongan ini.
Masih ingat kes seorang remaja OKU, adik Firdaus yang diabaikan ibu sendiri hingga tubuhnya menjadi kurus malah ketika ditemui cuma memakai pakai reput dan hidup bergelumang dengan najis sendiri?
Akibat pengabaian tersebut, pada 17 November 2014 ibunya Lola Nopita dijatuhi hukuman penjara 4 bulan dan denda RM10,000 di bawah Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.
Jika disabitkan kesalahan melibatkan individu berusia 18 tahun ke bawah di bawah akta ini, pesalah boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara selama 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Nampaknya, kerajaan benar-benar memelihara hak golongan kecil yang bakal menjadi nadi memacu masa hadapan negara satu hari nanti. Lantas itu, mana-mana pihak haruslah mendukung hasrat berkenaan dan tidak mengambil mudah.
Dalam laporan awal tahun ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, satu akta baru berkemungkinan digubal bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.
Jika terlaksana, ia mampu memelihara modal insan negara supaya hak-hak mereka lebih terbela.
Buat ibu bapa, hargailah permata yang dianugerahkan Tuhan dan lah ia sebaiknya, manakala buat penjaga pula, peganglah amanah yang diberi untuk menjaga si kecil atau bersedialah untuk menghadapi tindakan undang-undang kerana cuai!
– MYNEWSHUB.CC
Tindakan Polis Bagi Penjaga Yang Membiarkan Anak Tunggang Motosikal Tanpa Lesen