BEKAS Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah menasihatkan agar pelajar institusi pengajian tinggi awam terbabit tidak lagi memperbesarkan isu keperluan memasak di kampus atau rumah sewa selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menurutnya, pelaksanaan GST tidak akan membuatkan pelajar UiTM mati kebulur.
Dr. Ibrahim mengulas mengenai kenyataan kontroversi yang didakwa keluar daripada mulut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang menyarankan pelajar-pelajar tersebut memasak untuk mengelakkan GST.
“Saya minta pelajar UiTM jadi sedikit rasional, maksudnya jangan cakap melalui emosi dan tidak bersebab untuk marah kepada kerajaan.
“Apa yang dikatakan Ahmad benar selain banyak makanan dijual di dalam kampus sendiri dengan harga yang berpatutan. Memang isu masak sendiri ditujukan kepada mereka yang menyewa di luar kampus,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Terdahulu, nama Ahmad menjadi trending di media sosial kerana saranannya yang didakwa menyuruh pelajar yang duduk di kampus untuk memasak sebagai cara mengelak GST.
Saranan ‘Masak Sendiri Elak GST’ Dimanipulasi – Ahmad Maslan
Namun, menerusi laman mikro Twitter milik beliau, Ahmad menegaskan ucapannya selama lebih dua jam 45 minit di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam, semalam itu hanya menyentuh isu menyeluruh mengenai GST dan hal masak sendiri hanya tertakluk kepada mereka yang menyewa di luar sahaja. – MYNEWSHUB.CC