PORT-AU PRINCE – Sekurang-kurangnya enam maut dan lebih 8,000 kediaman rosak akibat banjir selepas hujan lebat melanda sebahagian ibu negara Haiti pada hujung minggu lalu, di sini.
Banjir itu menghanyutkan dua kanak-kanak berusia tiga dan tujuh tahun di daerah Delmas dan wanita berusia 24 tahun pula terkorban apabila dinding gereja runtuh di atas rumahnya.
Tiga lagi terkorban di daerah Carrefour.
Sebahagian penduduk masih tinggal di rumah sementara sejak lima tahun lalu selepas gempa bumi mengakibatkan lebih 200,000 orang mati dan memusnahkan keseluruhan tempat tinggal.
Ketua Jabatan Perlindungan Awam, Nadia Lochard berkata, lebih 8,000 kediaman dinaiki air akibat hujan berkenaan kebanyakannya di kawasan setinggan Cite Soleil dan pinggir bandar, Tabarre.
Sementara itu, pegawai berkata, ramalan cuaca dijangka lebih baik pada minggu ini tetapi musim hujan di Haiti biasanya bermula pada April dan ribut lebih kerap dijangka membadai. – AFP