KUALA LUMPUR – Gerakan menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Presiden parti itu Datuk Mah Siew Keong.
Beliau turut menyeru semua pihak dan masyarakat supaya memberi sokongan padu kepada Najib kerana beliau merupakan individu terbaik dalam memimpin negara.
Katanya, rakyat Malaysia juga perlu yakin dengan kepimpinan Najib bagi memastikan negara terus kekal pada haluan pembangunan untuk menjadi sebuah negara yang maju dan mencapai Wawasan 2020.
“Saya yakin akan kepimpinan Perdana Menteri kerana beliau telah membawa banyak transformasi yang positif kepada negara kita.
“Beliau telah berusaha kuat tanpa mengenal penat lelah untuk memajukan negara biarpun berdepan dengan landskap politik yang telah banyak berubah sepanjang 10 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan beliau itu berikutan kritikan terhadap Najib berhubung beberapa isu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini. – BERNAMA