HARI kedua sesi ujian pra-musim rasmi Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) menyaksikan giliran Yuki Ito pula mendahului pelumba-pelumba lain di dalam saingan SuperSports 600cc setelah mencatat masa terpantas 1’05.424s yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Catatan pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha itu 0.176s lebih pantas berbanding catatan pelumba Malaysia, Mohd Zamri Baba dari pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing yang mencatat masa terbaik 1’05.600s. Sementara itu pencatat masa terpantas hari pertama, Makoto Inagaki (Akeno Speed Racing) kekal konsisten setelah berjaya mencatat masa ketiga terpantas, 1’05.628s.
“Walaupun aksi pada hari ini lebih baik berbanding semalam, namun ia masih jauh dari apa yang kami sasarkan. Kami meletakkan sasaran untuk mencatat masa sekitar 1’4 saat namun permukaan litar tidak begitu baik kerana banyak kesan daripada tayar sewaktu perlumbaan Formula 1 minggu lepas. Kebanyakan pelumba lain turut menghadapi masalah serupa,” jelas Ito.
Tambah naib juara keseluruhan SuperSports 600cc musim 2014 itu, “Mudah-mudahan keadaan pada hari esok bertambah baik dan kami mahu mencapai apa yang kami sasarkan. Saya berharap cuaca juga baik kerana kami mahu mengumpul seberapa banyak data yang diperlukan sebelum kembali ke Jepun.”
Berada di kelompok lima pelumba terpantas pada hari ini ialah Tomoyoshi Koyama (T-Pro Yuzy Honda NTS), 1’05.920s dan M. Fadli (Astra Honda Racing Team), 1’05.926s.
Dalam saingan Asia Production 250cc (AP250), pelumba pasukan Trickstar Racing, sebuah pasukan cukup dikenali di Jepun, Takehiro Yamamoto terus mendahului lain-lain pelumba apabila mencatat masa terpantas 1’16.834s hampir satu saat lebih pantas berbanding catatan 1’17.463s yang dicatatnya semalam.
Dua pelumba Yamaha Factory Racing Indonesia, Sigit Purdno Harjono dan galang Hendra Pratama mencatat masa kedua dan ketiga terpantas, masing-masing dengan catatan 1’17.301s dan 1’17.757s.
Saingan kelas Underbone 130cc pula menyaksikan juara bertahan dari Indonesia, Gupita Kresna (Manual Tech Rextor) mencatat masa terpantas 1’21.624s diikuti rakan senegara, Ferlando Herdian (BKMS Indonesia Racing Team) 1’21.836s dan pelumba Malaysia, Azhar Abdul Jalil (Y.Y. Pang Racing Team) ketiga, 1’22.144s.
Sementara itu, dalam saingan Asia Dream Cup (ADC), Hiroki Nakamura dari Jepun mencatat masa terpantas, 1’20.952s sambil diekori dua pelumba Malaysia, Ahmad Harith Farhan yang mencatat masa terbaik 1’21.644s dan Hafiz Nor Azman ketiga, 1’21.702s.
Saingan Cabaran Suzuki Asia (SAC), Patis Chooprathet dari Thailand muncul pelumba terpantas dengan masa 1’28.067s, Adhi Chandra (Indonesia) kedua, 1’28.109s dan Andreas Gunawan juga Indonesia ketiga, 1’28.201s.
Keputusan
SuperSports 600cc
1.Yuki Ito (Yamaha) 1’05.424s 2.Zamri Baba (Honda) 1’05.600s 3.Makoto Inagaki (Yamaha) 1’05.628s 4.Tomoyoshi Koyama (Honda) 1’05.920s 5.M.Fadli (Honda) 1’05.926s
Asia Production 250cc
1.Takehiro Yamamoto (Kawasaki) 1’16.834s 2.Sigit Purdno Harjono (Yamaha) 1’17.301s 3.Galang Hendra Pratama (Yamaha) 1’17.757s 4.Imanuel Putra Pratna (Yamaha) 1’18.260s 5.Amirul Ariff Musa (Honda) 1’18.361s
Underbone 130cc
1.Gupita Kresna (Kawasaki) 1’21.624s 2.Ferlando Herdian (Yamaha) 1’21.836s 3.Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 1’22.144s 4.Sasitharen Sukumaran (Honda) 1’22.460s 5.Adib Rosley (Yamaha) 1’22.666s
Asia Dream Cup
1.Hiroki Nakamura (JPN) 1’20.952s 2.Ahmad Harith Farhan (MAS) 1’21.644s 3.Hafiz Nor Azman (MAS) 1’21.702s 4.Arsyad Rusydi (SIN) 1’21.795s 5.Koko Masaharu (PHI) 1’22.023s
Suzuki Asian Challenge
1.Patis Chooprathet (THA) 1’28.067s 2.Adhi Chandra (INA) 1’28.109s 3.Andreas Gunawan (INA) 1’28.201s 4.Jagan Kumar (IND) 1’28.339s 5. Zulhilmi Yazid (MAS) 1’29.380s – MYNEWSHUB.cc