KUALA LUMPUR – Sejumlah 892 wakil media dari 113 agensi berita tempatan dan luar negara sudah mendaftar untuk membuat liputan Sidang Kemuncak Asean ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Pegawai di Sekretariat Media, Zaria Mohd Nasri, berkata angka itu meliputi 586 anggota media dari 25 media arus perdana tempatan dan portal berita serta 296 anggota media asing yang mewakili 88 agensi.
“Selain itu ada wartawan dari organisasi seperti Al-Jazeera, Associated Press (AP), British Broadcasting Corporation (BBC), Reuters, Agence France Press (AFP), Dow Jones News, China Business Network dan agensi dari negara anggota Asean,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pusat media di Dewan 6 KLCC yang mampu menampung sehingga 500 orang, dilengkapi kemudahan seperti akses Internet selain makanan dan keselamatan.
Zaria berkata Sekretariat Media sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi media pada dua mesyuarat bulan ini bagi mendapat maklum balas mengenai kemudahan yang diperlukan.
“Ada antara mereka meminta ruang persendirian manakala agensi lain mahukan jaminan keselamatan memandangkan mereka turut membawa peralatan mahal, terutama agensi penyiaran,” kata Zarina.
Sementara itu, Grace Cho dari Korea Selatan, yang mengelola radio dalam talian ‘DurianAsean’, berkata langkah-langkah keselamatan yang mencukupi sudah disediakan di pusat media itu.
Wartawan portal berita tempatan ‘Warta Daily’ Faizal Badarudin menyuarakan rasa puas hati dengan kemudahan yang disediakan untuk media.
“Saya dapati persiapan dilakukan dengan baik memandangkan sidang kemuncak ini akan menjadi tumpuan media dari kesemua 10 anggota Asean dan negara lain,” katanya.
Sidang Kemuncak pada 26 dan 27 April, antara lain, akan memberi tumpuan ke atas kemajuan penubuhan Komuniti Asean pada akhir tahun dan merencanakan tindakan selanjutnya untuk memacu kumpulan serantau itu ke tahap yang lebih tinggi.
Asean dianggotai 10 negara – Brunei Darussalam, Kamboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA