KUALA LUMPUR – Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bhd menegaskan yang harga rumahnya telah lama ditetapkan di antara RM100,000 dan RM400,000.
“PR1MA tidak pernah mengubah julat harganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah untuk membolehkan lebih ramai keluarga di bandar layak untuk membeli rumah PR1MA, ia telah melaras siling pendapatan daripada RM7,500 kepada RM10,000, kata PR1MA yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Perubahan siling pendapatan telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober 2014 ketika pembentangan Bajet 2015.
PR1MA berkata, ia telah mengenal pasti pelbagai langkah untuk melaksanakan program perumahan mampu milik di seluruh negara dengan tekanan khusus ke atas keberkesanan kos, kecepatan penyerahan dan keperluan pelanggan.
Usaha sama dengan pemaju swasta adalah satu daripada langkah yang diambil, dalam usaha PR1MA menyediakan 500,000 rumah kepada keluarga berpendapatan sederhana yang memenuhi keperluan gaya hidup mereka.
PR1MA berkata, ia kekal komited untuk menyediakan rumah mampu milik kepada keluarga berpendapatan sederhana dan akan terus memberi tumpuan kepada beberapa strategi yang akan membantu mengekalkan harga rumah kediaman pada paras harga yang mampan dalam jangka panjang. – BERNAMA