IPOH – Juara bertahan, Australia mengukuhkan cengkaman memburu tiket ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas membenamkan Korea Selatan 5-2 untuk merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut, malam ini.
Dalam perlawanan lain, New Zealand turut mempamerkan aksi garang membelasah Kanada 5-0
dan memberi bayangan bakal mengiringi pasukan tetangga mereka dari Oceania itu ke perlawanan akhir edisi kali ini.
Kedua-dua pasukan ini sudah mengutip sembilan mata maksimum selepas tiga perlawanan.
Australia yang dikenali dengan jolokan Kookaburras jelas kembali bertenaga di Stadium Azlan Shah, di sini dengan aksi serangan padu untuk menang lagi selepas membelasah Kanada 7-0 pada perlawanan pembukaan, Ahad sebelum berhempas pulas menewaskan Malaysia 3-2 pada hari berikut.
Dengan kejayaan itu, juara dunia itu berada di atas landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kelima berturut sejak memenanginya pada 2011.
Ketika menentang bekas juara Asia itu, Jamie Dwyer muncul wira apabila menyumbang hatrik. Mark Knowles dan Eddie Ockenden adalah penyumbang dua lagi gol Australia.
Sementara itu, gol Korea Selatan diperoleh melalui Kim Seongkyu dan Jang Jonghyun.
Dalam perlawanan lain, New Zealand menang menerusi dua gol daripada Hugo Inglis dan masing-masing satu daripada Blair Hilton, Simon Child dan Shay Neal.
KEPUTUSAN
Korea Selatan…. 2 Australia………………. 5
New Zealand……5 Kanada………………….0
– BERITA HARIAN ONLINE