PETALING JAYA – Doktor diingatkan supaya mengangkat sumpah Hippocratic dengan serius dan tidak melakukan sebarang kemudaratan kepada orang ramai berkaitan usaha Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sumpah tersebut memerlukan doktor untuk merawat dan bukan melakukan sebaliknya.
“Sumpah kami adalah yang pertama tidak melakukan sesuatu yang membahayakan,” katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam juga berkata kementerian itu tidak akan membenarkan doktor untuk melaksanakan pemotongan tangan terhadap penjenayah.
Dr Noor Hisham dan Dr Subramaniam berkata demikian bagi mengulas kenyataan dalam sebuah portal berita yang memetik ahli jawatankuasa pelaksanaan hudud Kelantan, Dr Azhar Abdullah yang berkata kerajaan negeri itu mungkin mengupah doktor beragama Islam untuk melaksanakan pemotongan tangan dibawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II).
Dr Azhar mendakwa seorang pakar bedah dan pakar bius sudah menyatakan kesediaan mereka untuk menjalankan tugas tersebut.
Dr Noor Hisham berkata doktor tidak perlu melakukan kerja pemotongan tangan tersebut.
“Ia sepatutnya dilakukan oleh seorang yang ditugaskan untuk menghukum pesalah,” katanya.
Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Adeeba Kamarulzaman turut mengesa doktor untuk membuat pertimbangan sewajarnya sebelum terlibat dalam pelaksanaan hudud.
Beliau berkata negara ini tidak memenuhi prasyarat yang dikehendaki Islam untuk pelaksanaan hudud seperti kesaksamaan, keadilan dan belas kasihan.
“Terlalu banyak ketidakadilan dan ia tidak adil kepada golongan miskin dan lemah,” kata Dr Adeeba yang merawat dan memberi kaunseling kepada ramai penagih dadah dan pesakit HIV. – mStar Online