KUCHING – Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Himmat Singh berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan baik industri lada di Sarawak, yang menyumbang 98 peratus pengeluaran lada negara.
Sehubungan itu beliau yakin sasaran Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk meluaskan tanaman lada negara kepada 20,000 hektar pada tahun 2020 daripada 15,600 hektar ketika ini akan dapat dicapai.
Permintaan serta harga yang tinggi bagi komoditi itu pasti memberi galakan kepada para petani untuk mengusahakan tanaman berkenaan, katanya kepada pemberita semasa melawat kebun lada milik Henry Ta-o Anak Bunan di Kampung Semadang, Jalan Puncak Borneo, kira-kira 45 kilometer dari Kuching, semalam.
Menurut MPB, Sarawak mengeluarkan 14,903 tan metrik lada bernilai RM287.4 juta pada tahun 2011 yang dieksport ke Jepun, Semenanjung Malaysia, Taiwan, Korea, Singapura dan China.
Himmat Singh yang mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Sarawak dengan melawat kebun itu turut menyerahkan peralatan pemprosesan lada bernilai lebih RM3,000 kepada Ta-o, 72, yang mengusahakan kebun lada seluas 0.37 hektar itu sejak 2012.
Dalam lawatan dua hari itu, beliau turut melawat loji pemprosesan lada MPB di sini dan diberikan taklimat tentang pengurusan and projek pembangunan MPB, melawat projek pembangunan Stesen Penyelidikan Lapangan dan projek pembinaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Lada Negara di Semenggok di sini.
Sementara itu, statistik MPB bagi tahun 2014 menunjukkan terdapat 67, 214 petani terlibat dalam aktiviti penanaman lada di negara ini membabitkan keluasan tanaman 16,021 hektar dengan 89.6 peratus di Sarawak.
Tiga bahagian di Sarawak yang menjadi pengeluar utama lada ialah Sarikei seluas 4,964 hektar membabitkan 15,261 penggusaha dengan jumlah pengeluaran hasil sebanyak 8,737 tan metrik setahun, diikuti Bahagian Betong seluas 2,635 hektar membabitkan 13,661 pengusaha dan pengeluaran sebanyak 4,561 tan metrik, manakala Samarahan 3,471 hektar membabitkan 15,190 pengusaha dengan hasil pengeluaran 5,941 tan metrik.
Sementara itu, Ta-o berkata lada di kebunnya akan dituai pada Jun ini dan berdasarkan harga terkini pasaran beliau menjangka berupaya memperoleh hasil jualan antara RM30,000 hingga RM40,000. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=H2FQGjI5n_w