DAMANSARA: Penyanyi yang kini semakin dikenali dengan lagu berjudul Peristiwa, Asfan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia meniru imej yang dibawa penyanyi rappers, Sonaone.
Ini kerana sejak kebelakangan ini, kelibatnya sering kali disalah anggap sebagai Sonaone berikutan mereka dilihat berkongsi imej yang sama selain mempunyai rupa paras yang seakan-akan seiras.
Mengenai perkara itu, Asfan menafikan dakwaan bahawa dia meniru imej Sonaone sebaliknya mengatakan dia sememangnya seorang yang gemar berfesyen dan secara kebetulan mereka berkongsi citarasa yang sama dalam bergaya.
“Saya memang suka berfesyen dengan kawan-kawan saya seperti Fairuz Ramdan dan Wak Doyok. Ramai ingat saya Sonaone sekali imbas.
“Sebelum ini pernah jadi di mana orang salah menegur saya sebagai Sonaone,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada Majlis Pelancaran Maulid Akbar Selawat Perdana 1436H di sini semalam.
Menurut penyanyi berusia 31 tahun itu, setakat ini dia tidak pernah berjumpa dengan Sonaone secara face to face.
“Saya tak pernah berjumpa dengan Sonaone tapi saya harap Sonaone tidaklah terasa hati dengan saya disebabkan isu-isu macam ini.
“Saya merupakan salah seorang peminat Sonaone dan looking forward untuk berkolaborasi dengan Sonaone, dia seorang rappers dan saya penyanyi, mungkin kami boleh come out dengan idea yang boleh memajukan lagi industri seni tempatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asfan bakal memeriahkan program kerohanian Maulid Akbar Selawat Perdana 1436H yang bakal diadakan di Dataran Putrajaya pada 6 hingga 8 Mei depan.
Mengenai penglibatannya dalam program itu, Asfan menyatakan perasaan berbesar hatinya kerana dapat terlibat dalam majlis tersebut yang turut membabitkan ramai artis popular tanah air antaranya Amy Search, Aizat Amdan, Johan As’ari, Adam AF, Hafreez Adam, Lufya, Fizz Fairuz, RJ dan Rita Rudaini. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto: RIZA RAZAK