ERBIL, Iraq – Tiga orang terbunuh dalam letupan bom kereta di luar bangunan konsulat Amerika Syarikat di Erbil, iaitu serangan yang jarang berlaku di wilayah Kurdistan Iraq.
Tiada kakitangan AS yang cedera dalam letupan itu yang IS dakwa bertanggungjawab.
Menurut Jabatan Negara AS, serangan itu membabitkan kenderaan sarat dengan bahan letupan di luar laluan masuk kawasan konsulat berkenaan.
Puak Kurdis Iraq adalah rakan penting AS dalam kempen memerangi IS yang menguasai sebahagian besar wilayah Iraq dan pada musim panas lalu mengancam menawan Erbil.
Seorang saksi berkata, beliau mendengar letupan kuat yang disusuli tembakan senjata api dan asap hitam berkepul ke udara di wilayah Ankawa.
“Jelas konsulat itu adalah sasarannya,” kata Datuk Bandar Erbil, Nihad Qoja. Ketua keselamatan Ankawa pula menyatakan tiga orang terbunuh dan 14 lagi cedera. – Reuters
https://youtu.be/OChKg2z2Cso