KUALA NERUS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan sejumlah 15,000 setahun warga emas di seluruh negara akan mempunyai lesen memandu menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dilaksanakan jabatan itu pada tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata langkah itu bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk luar bandar, Orang Asli serta warga emas.
Katanya program SKSJ yang diadakan di seluruh negara itu berjaya memberi manfaat kepada masyarakat berusia 45 tahun ke atas yang masih belum mempunyai lesen memandu.
“Matlamat utama program SKSJ ini bertujuan supaya lebih ramai rakyat negara ini memiliki lesen memandu yang sah dan akan mendapat pembelaan serta dilindungi insurans apabila berlaku sesuatu kemalangan.
“Mereka yang memandu tanpa lesen bukan sahaja salah pada sisi undang-undang, tetapi juga tidak akan mendapat sebarang pembelaan jika terbabit dalam kemalangan apatah lagi jika meninggal dunia,” katanya selepas majlis penutupan program SKSJ, di sini hari ini.
Pada program berkenaan, sebanyak 447 calon terdiri daripada 210 lelaki dan 237 wanita berjaya memperoleh lesen memandu kelas B2.
Ismail berkata jika mengambil lesen melalui institut memandu biasa, mereka akan dikenakan bayaran sekurang-kurangnya RM400 tetapi di bawah program SKSJ, mereka hanya perlu membayar RM170.
Katanya kebanyakannya mereka menggunakan motosikal untuk pergi kerja tetapi sukar untuk mendapatkan lesen sebab tidak mampu atau tiada kemahiran komputer.
“Jadi pegawai kami turun membantu dengan mengadakan ujian secara lisan dan bertulis bagi membantu golongan ini,” katanya.
Ismail berkata 77,500 calon telah lulus ujian dan mendapat lesen memandu sejak program itu diperkenalkan pada 2009 sehingga kini dengan kira-kira 8,000 adalah dari Terengganu. – BERNAMA