China – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Chen Lin, yang meninggal dunia akibat kanser otak, menjadi penderma organ kanak-kanak pertama di negara itu yang menderma seluruh organnya kepada kanak-kanak lain yang lebih memerlukan.
Organ yang didermakan oleh Chen Lin itu telah membantu menyelamatkan nyawa tiga kanak-kanak lain.
Chen Lin menderma buah pinggang, hati, jantung, kornea dan paru-paru selepas meninggal dunia Ahad lalu.
Chen Lin selama ini dipelihara oleh neneknya selepas ibu dan bapanya, terpaksa berhijrah ke bandar untuk bekerja.
Pada bulan Disember tahun lepas, ibu bapanya mendapati keadaan anak mereka lemah dan kerap terjatuh apabila berjalan. Mereka kemudiannya membawa Chen Lin membuat pemeriksaan doktor dan mendapati dia menghidap tumor yang sebesar saiz sebiji telur dalam otaknya.
Menurut doktor, jika Chen Lin menjalani pembedahan, kadar kejayaan pembedahan itu hanyalah sekitar 20 peratus dan jika berjaya pun, kanak-kanak itu mempunyai tempoh dua tahun sahaja untuk hidup.
Pada Januari lalu, Chen Lin tidak mampu berjalan dan kerap muntah. Dia kemudiannya tidak mampu lagi bercakap.
Chen Lin telah dihantar ke hospital pada 8 April lalu dalam keadaan koma dan meskipun ibu bapanya tahu anak mereka tidak mempunyai banyak masa lagi dengan harapan tipis untuk hidup, mereka tetap menggunakan simpanan dan meminjam wang untuk membiayai rawatan perubatan kanak-kanak itu.
Nenek kanak-kanak itu kemudiannya mencadangkan supaya organ Chen Lin didermakan kepada kanak-kanak yang memerlukannya.
Pada mulanya ibu bapa Chen Lin membantah namun selepas dipujuk, mereka bersetuju.
“Anak saya masih muda dan tidak berpeluang untuk menyumbang kepada masyarakat. Kami berharap agar hadiah ini mampu menyelamatkan kanak-kanak lain,’’ kata ibunya.
– MYNEWSHUB.CC