KUALA LUMPUR – Agak mengejutkan… Itu kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengenai jumlah aduan amat kecil diterima mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada hari pertama perlaksanaannya semalam, 1 April.
Hanya 815 sahaja dalam masa 24 jam, malah jumlah ini nyata adalah terlalu kecil kalau dibandingkan dengan nisbah bilangan rakyat Malaysia seramai 30 juta orang penduduk.
Menjawab soalan tambahan mengenai GST di sidang Dewan Rakyat pada pagi Khamis, beliau berkata ini secara tidak langsung menggambarkan satu petanda permulaan yang baik untuk negara.
Menurut Ahmad lagi, daripada 815 itu, sebanyak 40 peratus dari aduan tersebut adalah mengenai kekeliruan GST untuk kad tambah nilai prabayar oleh syarikat telekomunikasi.
Beliau menjelaskan, sepatutnya harganya adalah masih sama sebelum GST tetapi ada yang dikesan mengenakan 6 peratus GST padahal Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah dimansuhkan.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah pun mengadakan beberapa pertemuan susulan dengan pihak telco terlibat bagi meminta mereka agar segera memperbetulkan hal kecil ini.
Katanya jika berdegil, kerajaan akan bawa syarikat terbabit ke mahkamah kerana sepatutnya harga jualan kad tambah nilai itu sudah ditolak kadar lama SST sebelum baharu dicampur dengan GST.
“Top up dulu ada SST 6 peratus.. apabila kita laksana GST.. tolak dulu baru campur GST…6 tolak 6 … kosong… maksudnya tidak berubah… kalau kad top up itu dulu RM10, selepas 1 Aprl juga RM10,” katanya.