MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sokongan padu daripada barisan kabinet dan kepimpinan UMNO.
“Kami semua memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri serta Presiden parti,” kata Khairy dalam satu sidang media anjuran Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, semalam.
Mengakui sejak kebelakangan ini Perdana Menteri menerima banyak kritikan terutamanya daripada Tun Mahathir, Khairy serta ahli kabinet lain bagaimanapun memutuskan untuk tidak memberi apa-apa komen berkaitan isu itu.
Khairy bagaimanapun memberi jaminan segala isu termasuk kemelut 1MDB pasti ditangani secara komprehensif.
“Oleh kerana itulah kami menegaskan satu audit komprehensif perlu dijalankan ke atas tuduhan perjanjian Petrosaudi untuk mengetahui liabiliti terkumpul,” ujarnya.
Beliau menambah keputusan audit itu akan dibahaskan di Parlimen dan Perdana Menteri memberi jaminan sesiapa pun yang melakukan pecah amanah akan didakwa.
Bercakap mengenai hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia, Khairi mengatakan tidak perlu ada perbandingan seperti di mana kedua-dua negara itu terletak.
“Sebuah jambatan baru akan menjadi simbol kepada perhubungan dua negara ini satu hari nanti,” katanya.
Beliau juga berpendapat jambatan itu perlu dibina lurus berbanding jambatan bengkok seperti yang diutarakan oleh Tun Mahathir sebelum ini agar menjadi satu simbol hubungan dua negara selain mengurangkan kesesakan lalu lintas serta melancarkan aliran air di sepanjang Selat Johor.
Apabila ditanya sama ada berminat untuk menjadi Perdana Menteri satu hari ini, Khairy berkata beliau lebih gemar memainkan peranan sendiri kerana tidak semua dilatih untuk memegang jawatan tertinggi itu.
– MYNEWSHUB.CC
Sumber: Free Malaysia Today