INDIVIDU yang menyalahgunakan laluan khas basikal akan dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kenderaan bakal ditunda pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menerusi laporan media sebelum ini menyebut terdapat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan laluan yang dikhaskan untuk pengguna basikal dengan memarkir kenderaan mereka di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, pihaknya mempunyai untuk mengambil tindakan berikutan papan tanda telah diletakkan pada laluan khas berkenaan.
Laluan tersebut akan diwartakan untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang menghalang kenderaan lain selain basikal daripada menggunakannya.
“Bila ada papan tanda maksudnya itu adalah undang-undang. Siapa langgar undang-undang, tindakan akan diambil dan bila-bila masa kita akan tarik kereta.
“Selepas ini kita akan adakan kempen bagi menyeru orang ramai mematuhi tanda laluan ini. Begitu juga, kita akan wartakan laluan trek basikal di Kuala Lumpur,” katanya memetik Awani.
Laluan khas basikal sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Mid Valley itu mula dibina pada 2013 yang mana ianya menelan belanja sekitar RM700,000.
Laluan itu dibina bertepatan dengan kempen Pagi Tanpa Kenderaan yang berlangsung setiap pagi Ahad minggu pertama dan ketiga pada setiap bulan.
Ianya bertujuan untuk mengalakkan penggunaan basikal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mengurangkan kadar pencemaran di ibu negara. – MYNEWSHUB.CC