KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata kerajaan terus berusaha menangani kos sara hidup rakyat dengan
melaksanakan pelbagai program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
Kos Sara Hidup Rakyat.
Beliau berkata di bawah NKRA itu, kerajaan menubuhkan 307 Klinik 1Malaysia
di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara.
“Setakat ini, saya dengan rasa berpuas hati dan lega melaporkan bahawa
khidmat kesihatan yang ditawarkan kepada rakyat telah mendapat sambutan
yang luar biasa dan membawa manfaat kepada lebih 15.8 juta kes pendaftaran
rawatan, dengan hanya bayaran RM1 sahaja.
“Sebagai contoh, saudara Karupaya A/L Muthukanoo, dari Pandamaran Klang.
Beliau memberi maklum balas kepada program ini bahawa, penubuhan Klinik
1Malaysia menjadi satu rahmat dan kemudahan yang dapat dirasakan secara langsung
kepada beliau sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Laporan Tahun 2014 GTP dan ETP di
sini, yang disiarkan secara langsung menerusi Radio dan Televisyen Malaysia
(RTM) malam ini.
Perdana Menteri berkata dengan adanya perkhidmatan Klinik 1Malaysia, ribuan
pesakit terutamanya dalam kalangan masyarakat bandar tidak lagi bimbang tentangn
masalah kekangan masa dan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan asas.
“Untuk itu, marilah sama-sama kita berterima kasih, dan mengucapkan syabas
kepada petugas-petugas kesihatan dan para jururawat di Klinik 1Malaysia,”
katanya.
Beliau berkata kerajaan juga memperkenalkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau
(BR1M) di bawah NKRA berkenaan.
“Saya faham, BR1M kini menjadi satu topik yang banyak diperbualkan. Justeru,
elok saya mengambil kesempatan pada malam ini bagi memperbetulkan
tanggapan-tanggapan yang tidak tepat oleh sesetengah pihak berkaitan pemberian
bantuan ini.
“Sebetulnya, BR1M ini ialah satu subsidi bersasar dalam bentuk tunai,
diberikan kepada golongan yang memerlukan sebagai pendekatan yang terbaik kepada
Malaysia buat masa ini,” kata beliau.
Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bantuan itu telah dilaksanakan
oleh banyak negara dalam pelbagai cara dan nama seperti bantuan dana pendidikan,
bantuan pelan kewangan kesihatan, pembayaran kebajikan dan bantuan
melalui kupon makanan.
Menurutnya pada 2013 di Indonesia, kerajaan negara itu memberi rakyatnya
bantuan tunai di bawah Program Keluarga Harapan bagi membantu meringankan kos
sara hidup akibat pelaksanaan program rasionalisasi subsidi petrol dan diesel.
“Sejumlah 3.2 juta isi rumah rakyat Indonesia telah dibantu dengan kos
anggaran 700 bilion rupiah,” katanya.
Di United Kingdom pula, kata beliau, kerajaan negara itu memberi bantuan
menerusi pemberian ‘setem makanan’ dengan menggunakan kad khas untuk tujuan
pembelian makanan.
Najib berkata oleh itu, BR1M bukan sesuatu yang asing tetapi turut menjadi
amalan di beberapa negara maju di dunia.
“Perlu difahami baik-baik bahawa BR1M ini adalah transitional measure atau
langkah sementara sahaja dalam proses konsolidasi fiskal demi memastikan kita
benar-benar membantu golongan yang sangat memerlukan berbanding subsidi secara
pukal yang dilaksanakan sebelum ini,” jelas beliau.
Perdana menteri turut berkongsi kisah ibu tunggal Dayah A/K Mamut, 41,
dari Rumah Panjang di Betong, Sarawak yang kini bekerja sebagai pengawal
keselamatan di sebuah sekolah dan mempunyai empat anak berusia antara 11 hingga
20 tahun.
“Di sini, sebagai seorang pemimpin, suka saya menyatakan sesiapa sahaja
boleh mengatakan apa saja yang mereka suka dan fikirkan. Namun, bagi individu
rakyat seperti Puan Dayah, BR1M betul-betul dapat membantu meringankan
beban yang ditanggung bagi kos persekolahan anak-anaknya.
“Ketahuilah, selain Puan Dayah, di sebalik apa yang diperkatakan kini,
sekurang-kurangnya kerajaan telah cuba sedaya mungkin memberi bantuan langsung
kepada 7 juta isi rumah dan individu lain yang memerlukan dan tanpa mengira
latar belakang politik,” kata beliau.
Perdana Menteri juga berkata sejak 2010, kerajaan mewujudkan 161 Kedai
Rakyat 1Malaysia di seluruh negara, yang menjual 272 jenis barangan Produk
1Malaysia pada harga 15 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga
pasaran.
Bagi NKRA Mempertingkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah,
kerajaan telah membantu hampir 170,000 orang golongan miskin untuk hidup dengan
lebih selesa menerusi program Akhiri Zaman Kemiskinan atau 1AZAM, yang antara
lain memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan diri dan kemahiran kewangan.
“Kita turut berbangga dengan pencapaian program 1AZAM di mana hampir 65,000
keluarga dari golongan sasar telah dibantu untuk pembangunan kapasiti dan
kemahiran,” katanya.– BERNAMA