PORT DICKSON – Sebuah kuarters pegawai kanan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Jalan Pantai di sini, musnah dalam kebakaran pagi ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku pada kira-kira 6.28 pagi itu.
Semasa kejadian, kuarters dua tingkat yang terbakar itu tidak berpenghuni kerana difahamkan penghuni rumah, pasangan suami isteri berada di luar negara.
Dua jentera bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Komander operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Sabri Roslan berkata ketika pasukan bomba sampai ke tempat kejadian, api sedang marak dan pihaknya mengambil masa 10 minit mengawal api.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi. – BERNAMA