LONDON – Harapan Manchester City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England menerima satu lagi tamparan hebat apabila juara bertahan itu tewas 1-2 dalam perlawanan menentang Crystal Palace di Selhurst Park pada lewat Isnin.
Bermain di padang sendiri, Crystal Palace terus mengasak benteng pertahanan Manchester City yang rapuh, seawal minit pertama perlawanan. Benteng pertahanan City yang diserang bertubi-tubi akhirnya dibolosi oleh Glenn Murray pada minit ke-34.
Dalam rentak perlawanan yang agak pantas itu, City gagal menyaingi kelincahan beberapa pemain Crystal Palace seperti Jason Puncheon dan bekas pemain sayap kelab elit Manchester United, Wilfried Zaha.
Tuan rumah menjaringkan gol kedua menerusi tendangan percuma yang disempurnakan Jason Puncheon pada minit ke-48. City yang terkial-kial mengatur serangan, akhirnya memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan pemain midfield Yaya Toure pada minit ke-78.
Kekalahan ini adalah yang keempat berturut-turut bagi Manchester City di padang lawan, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga keempat, kira-kira sembilan mata jauh di belakang pendahulu liga, Chelsea.
City akan berdepan dengan jirannya sendiri, Manchester United pada hari Sabtu ini. Dengan kemenangan terbaharu di Selhurst Park itu, pasukan tuan rumah Crystal Palace kini melompat ke tangga kesebelas liga.
Pengurus City, Manuel Pellegrini mengakui kini semakin tertekan untuk mencatat kemenangan dan mempertahankan mahkota Liga Perdana England, yang kelihatan semakin kukuh dalam genggaman Chelsea. – Agensi/A.AMREE