SEMPENA meraikan ulangtahun ke-30 majalah Media Hiburan, majalah tersebut telah mengeluarkan sebuah buku khas yang menghimpunkan sejarah kemunculan 30 selebriti lagenda tempatan, 30 Living Legends Media Hiburan.
Penghasilan buku tersebut merupakan penghargaan khas dan kelainan yang cuba dibuat editorial majalah tersebut dalam mengiktiraf bakat 30 ‘living legends’ yang terpilih itu.
Menurut Editor Pengurusannya, Meen Tahrin, penghasilan buku khas ini memuatkan segala kisah suka duka perjalanan seni 30 lagenda tanah air.
“Idea untuk menghasilkan buku ini adalah bersempena ulang tahun ke-30 Media Hiburan. Kami memikirkan sesuatu yang lebih eksklusif bukan sahaja kepada kami tetapi juga kepada artis dan peminat yang telah menyokong perjalanan Media Hiburan dari dulu sehinggalah kini.
“Ramai sebenarnya senarai lagenda kita, tetapi kita memilih mengikut kriteria antaranya mereka yang pernah memenangi pelbagai anugerah selain mencipta fenomena tersendiri dalam bidang hiburan.
“Sebagai contoh, ratu dangdut merupakan gelaran kepada Amelina, ratu jazz pula Datuk Sheila Majid, masing-masing yang dipilih memang memiliki kriteria mereka yang tersendiri,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada majlis pelancaran buku 30 Living Legends di Hotel Pullman, Bangsar, semalam.
Pelancaran buku itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Karangkraf, Syamil Fahim.
Antara yang tersenarai dalam 30 Living Legends itu adalah Amelina, Amy Search, Awie, Datuk Aznil Hj Nawawi, Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), Ella, Erra Fazira, Faizal Hussein, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Fauziah Latif, Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Datuk Jalaludin Hasan, Datuk Jamali Shadat, Jay Jay, Datuk Khadijah Ibrahim, KRU, Datuk M. Nasir, Datuk Mahadzir Lokman, Ning Baizura, Noraniza Idris, Ramlah Ram, Datuk Ramli Sarip, Salamiah Hassan, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Yusof Haslam, Zainal Abidin dan Ziana Zain.
Meneliti dalam senarai itu, terselit dua nama besar anak kelahiran Singapura, iaitu Datuk Ramli Sarip dan Datuk M. Nasir yang mencipta namanya di Malaysia.
Bertanya kepada Meen, tidakkah pihaknya gusar dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengandaikan bahawa sepatutnya penghargaan itu perlu diberikan kepada anak jati Malaysia sahaja, ini jawapannya, “walaupun mereka dari Singapura tapi mereka tetap popular di sini, diterima di negara kita, jadi saya rasa tiada masalah daripada mana (mereka berasal), yang penting hasil seni itu adalah di negara kita.”
Hanya mengambil masa selama tiga bulan bagi menyiapkan proses penghasilan buku khas itu, buku ini juga tidak boleh didapati di mana-mana kedai buku sebaliknya dijual secara atas talian menerusi laman web karangkraf.com.
30 Living Legends ini dijual pada harga RM128 dan didatangkan dalam edisi hard cover selain pembeli juga boleh memilih tandatangan artis pilihan kesayangan mereka. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto/Video: RIZA RAZAK
https://www.youtube.com/watch?v=6tSAuZ1Y5qA&feature=youtu.be