TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akhirnya mendedahkan satu rahsia iaitu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berpesan kepada ahli parti itu untuk berbaik dengan parti pemerintah yakni UMNO.
Ia bersandarkan kepada alasan bahawa UMNO merupakan kunci kepada perlaksanaan hukuman Hudud di Kelantan.
Memetik laporan Berita Harian hari ini, bekas Mursyidul Am PAS itu berpesan kepada PAS untuk tidak mengkritik UMNO kerana mereka perlu berurusan dengan pihak tersebut.
[BERKAITAN: PAS Wajar Berjuang Sendirian Demi Hudud]
Dalam kenyataannya seperti disiarkan akhbar tersebut, “Hari ini, saya membuka rahsia dan menceritakan amanat Allahyarham kerana timbul isu mendakwa PAS sudah masuk perangkap Umno kerana kita mengadakan perbincangan bersama mengenai hudud.
“Kenapa isu ini perlu dibangkitkan kerana hubungan antara PAS dengan kerajaan persekutuan sudah lama terjalin. Malah, sepanjang pemerintahan Allahyarham Nik Aziz juga, hubungan itu sudah terjalin.
“Perlu ingat, UMNO mempunyai kunci besar dalam kerajaan. Jadi, tidak perlu pertikaikan isu hubungan baik PAS dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya beri keyakinan kepada pimpinan PAS kerana apa yang kita mahu lakukan ini untuk kebaikan rakyat.”
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan pemerintah negeri melaksanakan hukuman tersebut di Kelantan.
– MYNEWSHUB.CC
PAS – Hanya Dengan UMNO, Hudud Boleh Dilaksanakan