AMSTERDAM – Seorang pakar forensik Belanda yang membantu mengenal pasti identiti mangsa nahas Penerbangan MH17 di Ukraine pada tahun lalu dipecat selepas dia menunjukkan beberapa gambar mangsa pada satu kuliah awam, kata pihak kerajaan kelmarin.
“Kerjasama dengan pakar itu, George Maat telah ditamatkan,†kata Menteri Kehakiman Belanda, Ard van der Steur.
Terdahulu, beliau menyifatkan ceramah yang disampaikan Maat sebagai tidak sesuai kerana ia boleh menyinggung perasaan waris mangsa.
Maat merupakan seorang pakar antropologi Universiti Leiden yang terletak di bandar Maastricht, selatan Belanda.
Beberapa wartawan stesen televisyen swasta Belanda, RTL Nieuws menghadiri kuliah tersebut yang dianjurkan oleh sebuah persatuan pelajar perubatan.
Dalam ceramahnya, Maat menunjukkan beberapa gambar cebisan badan mangsa dan menjelaskan elemen yang digunakan dalam proses pengecaman.
Mengulas situasi tersebut, seorang jurucakap Pasukan Penyiasat Forensik Kebangsaan Belanda (LTFO), Thomas Aling berkata, Maat telah digantung kerja, manakala tindakan lanjut terhadapnya sedang dalam pertimbangan.
“Dia menunjukkan gambar yang tidak wajar dipaparkan dalam kuliah awam.
Maat juga memberi komen di luar kepakarannya terutama mengenai punca nahas berkenaan itu yang menurut Aling, tidak benar.
Kesemua 298 penumpang termasuk anak kapal Malaysia Airlines terbunuh.
Bagaimanapun, gambar-gambar itu sebenarnya boleh ditunjukkan untuk tujuan pendidikan tetapi bukan untuk tontonan umum. Laman Facebook mengenai acara itu pula menyatakan, ia terbuka kepada orang awam.
Mengulas isu itu, Maat menjelaskan, dia menunjukkan gambar-gambar itu kerana menyangka majlis berkenaan hanya dihadiri oleh pelajar perubatan dan tidak mengetahui ia dibuka kepada umum, kata Maat dalam satu kenyataan yang disiarkan polis Belanda.
Ukraine dan Barat sebelum ini menuduh pejuang pemisah pro-Rusia menembak jatuh MH17 dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu BUK yang dibekalkan oleh Rusia.
Moscow bagaimanapun menafikan tuduhan itu sebaliknya menuding jari kepada Kiev. – Agensi