KUALA LUMPUR – Pemuda MIC telah bersiap sedia untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Ketuanya, C.Sivarraajh berkata, Pemuda MIC akan melancarkan Ops Tawan di kawasan tersebut bagi memenangi hati pengundi Permatang Pauh supaya menyokong calon BN.
“Tidak ramai pengundi India di Permatang Pauh maka kami akan turut bekerja keras untuk meyakinkan pengundi Melayu dan Cina.
“Kami akan berkempen supaya mereka mengundi calon BN tanpa mengira bangsa mereka kerana kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sivarraajh berkata, Pemuda MIC akan menyokong calon BN yang menegakkan Perlembagaan Negara bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang terang-terang mengabaikan kepentingan Perlembagaan.
Beliau turut memaklumkan, Pemuda MIC akan melaksanakan Ops Kekal dalam PRK Rompin bagi memastikan kerusi Parlimen itu terus pada BN.
– MYNEWSHUB.CC