KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal yang dihukum penjara 51 hari oleh Mahkamah Klang di Selangor kerana gagal membayar lapan saman tertunggak sebanyak RM2,350.
Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, lelaki tersebut turut dijatuhi hukuman tersebut kerana beliau mempunyai waran tangkap berikutan saman tertunggak terbabit.
“Penunggang motosikal tersebut telah dituduh di Mahkamah Klang dengan 13 pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 51 hari kerana gagal membayar denda sebanyak RM2,350,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Fuad memaklumkan, penunggang motosikal itu ditahan oleh seorang pegawai dan empat anggota cawangan trafik Klang Utara pada pukul 10 pagi pada 8 April lalu.
Menurutnya, lelaki itu ditahan sewaktu pegawai dan anggota polis trafik terbabit sedang menjalankan Op Warta di Jalan Abd Manan, Klang.
“Cawangan Trafik Bukit Aman berharap orang ramai menunjukkan sikap bertanggungjawab untuk menyelesaikan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas mereka,” katanya. – mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=RWs_1PnjFmY