KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas dakwaan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bahawa penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri tiang gol Stadium Ipoh dalam insiden keganasan bola sepak baru-baru ini.
Baginda yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin itu tidak masuk akal dan memalukan imej persatuan bola sepak yang diterajui beliau.
“Bukti perlu diberikan sekali agar ia tidak dipandang sebagai kenyataan yang tidak masuk akal. Di manakah kawalan keselamatan sehinggakan tiang gol yang sebesar itu mampu dicuri tanpa dilihat oleh pihak yang bertugas?
“Tahukah berapa ramai diperlukan untuk mengangkat tiang gol yang tertanam dan bagaimana untuk membawanya pergi. Jangan kerana terlalu mencari kesalahan sehingga perkara diluar batas fikiran juga terus dicanang yang akhirnya akan memalukan diri dan imej persatuan itu sendiri,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan PAFA akan membuat tuntutan rugi kepada PBNJ diatas keganasan yang dilakukan oleh penyokong JDT termasuk merosakkan papan iklan, mengoyakkan jaring gol dan mencuri tiang gol Stadium Ipoh.
Tunku Ismail bagaimanapun menafikan dakwaan penyokong JDT melakukan keganasan dalam kejadian tersebut sebaliknya mendakwa penyokong Perak bertindak membaling objek keras termasuk batu ke atas penyokong Harimau Selatan. – mynewshub.cc