BUKIT MERTAJAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.
Calon BN Suhaimi Sabudin akan dicabar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Ishak (Bebas) dan Azhar Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan demikian apabila proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, ditutup pada 10 pagi selepas dibuka selama sejam, Sabtu.
Proses penamaan calon yang bermula pada 9 pagi berjalan lancar dengan ribuan penyokong parti-parti yang bertanding, mematuhi peraturan untuk berada di luar kawasan pusat penamaan calon sepanjang proses penamaan.
“Tidak ada borang pencalonan (yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh.
Sebelum itu, Suhaimi, 43, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh diiringi ribuan penyokong BN diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke pusat penamaan calon.
Turut mengiringi beliau ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.
Sementara itu, Dr Wan Azizah diiringi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Calon Bebas pilihan raya umum (PRU) ke-13, Dr Abdullah Zawawi Samsudin, 47, pula menarik diri daripada bertanding selepas mendapati ada calon Bebas lain yang bertanding.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Mei. – BERNAMA