KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2014 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Rabu, antara lain untuk menyediakan takrifan baharu bagi daun ketum dan menyenaraikannya sebagai dadah berbahaya.
Cadangan pindaan itu juga meliputi sekatan pengimportan, pengeksportan, pemilikan, penanaman, perusahaan ketum dan mengadakan peruntukan kuasa untuk mengawal selia penghasilan dan urusan berkenaan ketum.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, Akta Racun 1952 yang ketika ini digunakan bagi mengawal penyalahgunaan daum ketum, tidak cukup kuat untuk mengekang aktiviti tersebut.
Justeru, katanya adalah menjadi keperluan untuk mentakrifkan ketum sebagai dadah berbahaya bagi kawalan lebih ketat terhadap penyalahgunaan bahan itu dapat dilaksanakan.
“Kawalan pemilikan daun ketum boleh ditingkatkan jika ia dijadikan dadah berbahaya kerana undang-undang sedia ada iaitu ketum diletakkan di bawah Akta Racun adalah terbatas dan menyebabkan tindakan penguatkuasaan kurang berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu juga bagi membolehkan ketum disenaraikan di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya yang turut menyenaraikan tanaman lain seperti pokok ganja, kanabis, popi dan koka.
Hilmi berkata pindaan turut membabitkan beberapa seksyen dalam Akta terbabit yang memperuntukkan pengimportan, pengeksportan, pemilikan, penanaman dan perusahaan ketum sebagai satu kesalahan.
Menjelas lanjut, beliau berkata ketum atau nama asalnya ‘kratum’ adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Rubiaceae yang banyak didapati di negeri-negeri utara Semenanjung.
Katanya, penyalahgunaan daun ketum memberikan kesan yang hampir sama dengan dadah jenis Opiat yang mengakibatkan kesan buruk kepada individu seperti hilang kawalan diri, rasa bosan dan malas, kurang sensitif terhadap kesakitan fizikal dan emosi.
“Selain itu anak mata menjadi kecil, berasa loya, mulut menjadi kering, kerap kencing, kurang selera makan, turun berat badan, sembelit dan insomnia,” katanya.
Hilmi turut mengakui ketum digunakan dalam rawatan tradisional, namun ia hanya dilakukan berdasarkan maklumat tradisi dan sehingga kini tiada kajian klinikal dilakukan yang membuktikan ia berkesan.
Katanya, walaupun ketum disenaraikan sebagai dadah berbahaya nanti, ia tidak akan menghalang kajian dilakukan terhadap tumbuhan itu kerana Akta Dadah Berbahaya membenarkan untuk pemilikan bagi tujuan penyelidikan. – BERNAMA