GEORGE TOWN – Polis percaya dapat menumpaskan sindiket mencuri kereta antik yang bergiat aktif di sekitar Pulau Pinang selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di Jalan Kelawai, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah inap desa dan menahan seorang lelaki berusia 40-an pada 12.30 tengah malam tadi.
“Hasil siasatan polis mendapati lelaki itu menyimpan kereta-kereta antik yang dicuri sindiket ini di rumah inap desa berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli.
“Polis turut menemui semula sebuah kereta antik jenis Austin yang dilaporkan hilang di sebuah pangsapuri di Sungai Ara. Kereta bernilai RM80,000 itu berjaya ditemui semula dalam tempoh 24 jam selepas dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini Sabtu.
Katanya siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah mencuri kereta antik dengan menggunakan trak penunda bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Mior Faridalatrash berkata siasatan juga mendapati sindiket itu dipercayai bergerak aktif di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.
“Mereka akan mencuri kereta dengan membawa trak penunda ke kawasan kereta itu diletakkan sebelum membawanya ke lokasi yang telah ditetapkan untuk disimpan, sebelum dijual kepada pihak tertentu,” katanya.
Katanya usaha mengesan saki baki anggota sindiket itu giat dijalankan dan polis percaya akan menumpaskan kumpulan berkenaan.
Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 A(1) kerana mencuri kenderaan, katanya. – BERNAMA