JAKARTA – Prinsip wasatiyyah adalah kunci bagi memelihara umat Islam seluruh dunia daripada terjerumus dalam gejala ekstremisme, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Katanya prinsip itu bukanlah rekaan manusia tetapi Allah telah menggelarkan umat Islam sebagai Ummatan Wasata iaitu umat yang terpilih lagi adil seperti yang disebut dalam kitab suci al-Quran dan Islam menentang segala bentuk ekstremisme.
“Gejala ekstrimesme wujud sekurang-kurangnya dalam dua bentuk iaitu aliran yang beranggapan Islam sebagai serba longgar sehingga melupuskan keaslian dan jati dirinya serta aliran yang menghayati Islam secara serba sempit sehingga umatnya muncul dalam bentuk yang kasar dan jumud,” kata beliau ketika merasmikan Muzakarah Ulama dan Pendakwah Malaysia-Indonesia 2015 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata kedua-dua aliran ekstremisme itu telah menyimpang daripada ajaran Islam sebenar serta memecah-belahkan perpaduan umat selain membentuk persepsi yang salah terhadap Islam sehingga mewujudkan gejala Islamophobia di peringkat global.
Katanya Islam tidak pernah menganjurkan mahupun menyokong sebarang bentuk keganasan kerana ia satu jenayah sedangkan Islam adalah agama yang sejahtera dan mensejahterakan manusia.
Beliau berkata ketika negara Barat sedang melihat umat Islam sebagai pengganas, terdapat pula golongan yang menggelar diri mereka sebagai Islamic State (IS) menampilkan suatu fenomena yang begitu dahsyat dan ganas dengan menyerang orang awam daripada kalangan Muslim dan bukan Islam serta membunuh tahanan perang sewenang-wenangnya.
“Perlakuan ini tiada asasnya dalam Islam dan jenayah terrorisme mereka adalah untuk menundukkan masyarakat awam dengan kekerasan dan keganasan,” katanya.
Muhyiddin juga berkata dalam usaha membanteras gejala ekstrimisme seperti itu, khazanah keilmuan para ulama serta dinamika metodologi para pendakwah di Malaysia dan Indonesia harus dikongsi dan dimanfaatkan bersama.
“Umat Islam di Malaysia dan Indonesia perlu berdiri teguh atas prinsip wasatiyyah iaitu mengambil sikap pertengahan atau tidak melampau dalam amalan agama seperti yang dituntut oleh ajaran Islam sebenar,” katanya.
Beliau berkata prinsip wasatiyyah yang disebut dalam al-Quran tidak menghalalkan pelampauan, kekerasan mahupun ketaksuban dan tidak pula melonggarkan mahupun mencuaikan agama sehingga menyebabkan penyimpangan atas nama agama.
“Saya percaya bahawa kefahaman dan amalan tentang prinsip wasatiyyah mestilah disebarkan kepada umat seluruhnya. Para ulama dan pendakwah di rantau nusantara ini berperanan untuk memastikan agar umat Islam tidak terjebak dengan gejala ekstremisme menerusi bimbingan tradisi keilmuan para ulama muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan agar para ulama dan pendakwah Malaysia serta Indonesia melihat aspek pendidikan Islam formal berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai satu wahana memperluaskan dakwah dan menangani ektresmisme.
“Sebagai Menteri Pendidikan, saya melihat sistem pendidikan Islam di Malaysia yang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan formal, merupakan kaedah terbaik untuk menyebarluaskan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat.
“Penularan pengaruh ekstremisme boleh dikawal menerusi penggunaan kurikulum dan silibus pendidikan Islam yang standard berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Muhyiddin berkata para pendakwah dan ulama dari Malaysia dan Indonesia diharap dapat meneroka dimensi-dimensi baharu dakwah yang boleh menawarkan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan umat Islam masa kini.
“Sekiranya kita mampu membuktikannya di peringkat kedua-dua negara tetangga ini, maka tidak mustahil apa yang kita rintis pada hari ini, akan menjadi model ikutan terbaik untuk negara-negara Islam yang lain,” katanya. – BERNAMA