ROMPIN – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti melebihi 15,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, walaupun mengakui ia bukan tugas mudah.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata keyakinan itu berdasarkan kepada gerak kerja jentera parti yang kini berjalan lancar dengan keseluruhan kawasan di parlimen berkenaan sudahpun dilawati untuk bertemu dengan pengundi.
“Setakat hari ini, semua berjalan dengan baik, tidak ada masalah antara jentera parti. Kita mahu ia dipertingkatkan lagi dan isu-isu berbangkit seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Felda Global Ventures (FGV), ekonomi, pekerjaan dan sara hidup telahpun kita jelaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Dialisis Rompin di Pantai Hiburan, di sini hari ini, yang dibina dengan kos RM1.5 juta.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Muhyiddin berkata gerak kerja jentera BN kini memasuki fasa kedua yang disifatkan lebih kritikal, dan ia akan dijalankan dengan lebih agresif supaya 53,294 pengundi berdaftar di Parlimen Rompin memahami tentang isu-isu tersebut.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengundi di parlimen berkenaan supaya tidak mengambil mudah dengan tidak keluar mengundi kerana mengandaikan BN mampu menang selesa pada PRK tersebut.
“Kita tidak mahu pengundi andaikan BN pasti menang dan ambil sikap mudah sehingga tidak keluar mengundi, itu sahaja yang kita bimbang. Kalau semua pihak bersikap begitu, kita akan hadapi masalah.
“Sehubungan itu, untuk tunjuk mereka masih menyokong perjuangan kerajaan BN yang diwakili oleh calon kita (Datuk Hasan Arifin), kita harap mereka akan keluar beramai-ramai dan (pengundi luar) pulang untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata jentera BN telahpun dikerahkan untuk mengenal pasti pengundi Rompin yang tinggal di luar, dan membawa mereka pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 5 Mei ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata langkah kerajaan Pahang mengumumkan cuti peristiwa pada hari pengundian juga diyakini dapat membantu meningkatkan lagi jumlah penduduk Rompin untuk keluar mengundi.
“Kalau ikut trend, memang PRK akan ada penurunan (jumlah keluar mengundi), kalau pilihan raya umum (PRU), 85 peratus yang keluar mengundi…PRK ini, ia akan turun.
“Bagaimanapun kita akan cuba usahakan (agar lebih ramai pengundi Rompin yang tinggal di luar untuk pulang) dan saya percaya Suruhanjaya Pilihan Raya pun sudah keluarkan kenyataan menggalakkan pengundi luar untuk pulang,” katanya.- BERNAMA
https://youtu.be/O1Ndy8e4Nqc