DOHA – Kerajaan Qatar bakal mengeluarkan peraturan baharu yang mewajibkan semua premis komersial termasuk kafe, restoran, pusat beli-belah, bahkan klinik kesihatan dan pejabat swasta menutup operasi sepanjang ibadah solat Jumaat.
Undang-undang julung kali itu mewartakan sekiranya pengusaha perniagaan yang didapati ingkar berdegil dan tetap beroperasi semasa ibadah fardu tersebut, pesalah kali pertama boleh dikenakan hukuman denda 10,000 rial Qatar (RM9,963).
Akhbar berbahasa Inggeris berpengaruh Qatar, The Peninsula, pada Khamis melaporkan, peraturan tersebut merupakan titah perintah langsung daripada Emir Qatar sendiri, Sheikh Tamim al-Thani yang dikeluarkan sehari sebelum itu.

Baginda yang kini berusia 34 tahun mula mewarisi takhta pada 25 Jun 2013 bagi menggantikan ayahandanya, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani, 63 tahun, atas faktor kesihatan; serta juga merupakan pemerintah diraja paling muda di dunia.
Harian The Peninsula menjelaskan, peraturan itu akan dimasukkan dalam warta rasmi kerajaan setelah undang-undang tersebut disahkan Majlis Asy-Syura atau dewan perundangan Qatar yang berfungsi sebagai panel penggubal utama dasar negara.
Pada 2011, Qatar membekukan segala aktiviti penjualan minuman keras di puluhan restoran dan kafe dalam wilayah The Pearl, sebuah pulau buatan manusia seluas empat juta meter persegi yang banyak dihuni puluhan ribu ekspatriat luar negara.
_0.jpg)
Malah pesta sukaria yang biasa diadakan setiap malam minggu dengan dentuman muzik dan minuman beralkohol juga dilarang di The Pearl, satu-satunya tanah tambak tebus guna pegangan hak milik bebas warga asing di pinggir pantai ibu kota Doha.
Situasi ini menimbulkan kritikan keras aktivis hak asasi manusia Barat kerana Qatar kebetulan bakal tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 yang akan menjadikan negara kecil Teluk Parsi itu sesak dibanjiri jutaan peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Qatar yang berkeluasan hanya 11,571 kilometer persegi dengan 2.2 juta penduduk; merupakan negara terkaya di dunia serta mengamalkan sistem pemerintahan emir diraja sejak merdeka daripada Britain pada 1971. – Agensi/A.AMREE