KOTA KINABALU – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 50 tahun cedera ditembak dalam kejadian samun oleh sekumpulan empat lelaki di sebuah ladang di daerah Kinabatangan, semalam.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Salehhudin Abdu Rahman berkata dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, mangsa ditahan oleh kumpulan itu ketika baru melintasi sebuah jambatan di Mop C, Ladang Malangking.
Beliau berkata mangsa memberhentikan kenderaannya dengan menyangka kesemua lelaki tersebut adalah pekerja ladang dan ingin menumpang kenderaannya ke kawasan perumahan ladang.
Bagaimanapun, kumpulan itu menjerit meminta wang sebelum salah seorang suspek megacu pistol ke arah mangsa dan melepaskan tembakan, kata Salehhudin, yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, di sini hari ini.
Menurutnya mangsa, yang mengalami kecederaan di bahagian kiri dadanya, terusmemecut kenderaannya ke arah rumah kongsi Mop C, kira-kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.
Katanya mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kinabatangan dan keadaannya stabil.
Beliau berkata kumpulan penjenayah itu melarikan dua utas jam tangan dan sebuah telefon bimbit mangsa.
Beliau berkata polis menemukan dua kesan tembakan di cermin tempat duduk pemandu dan cermin tempat duduk penumpang dan usaha menjejak suspek sedang dijalankan. – BERNAMA