SHAH ALAM — Seorang bapa dan anak lelakinya yang baru
berusia dua bulan maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di
rumah mereka di Jalan Sungai Buaya, Kampung Chodoi, Banting hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Amir Jiran, 45, manakala nama bayi tidak dapat
dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba Banting Mohd Jaslizad Jalil ketika dihubungi Bernama
berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 3.39 petang dan jentera
tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
“Menurut saksi, renjatan elektrik itu berpunca daripada kipas di rumah baharu
mangsa yang masih dalam pembinaan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal
pasti punca sebenar,” katanya.
Mohd Jaslizad berkata kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di
atas lantai rumah itu ketika bomba tiba di tempat kejadian.
Katanya pasukan perubatan kemudian mengesahkan Mohd Amir meninggal dunia di
lokasi kejadian manakala anaknya meninggal dunia di klinik kesihatan
berhampiran. — BERNAMA
VIDEO SAMPINGAN: Lelaki Hilang Wajah Kerana Renjatan Elektrik