BERKUNJUNG ke daerah ini pastinya tidak lengkap tanpa menikmati ‘si sepit biru’ dari Sungai Rompin, yang telah menjadikan daerah dan bandar ini terkenal.
Deretan kedai makan di kawasan Leban Chondong, khasnya yang menawarkan pelbagai masakan udang galah sudah cukup untuk membuatkan pengunjung yang menikmatinya pertama kali pasti akan mencarinya untuk kali seterusnya.
Menyedari permintaan terhadap udang galah bakal meningkat sepanjang PRK Rompin, pemilik kedai makan dan peraih sudah mula menyimpan bekalan supaya tidak menghampakan ‘tetamu’ yang berkunjung ke Rompin sepanjang tempoh berkenaan.
Bagi pemilik Gerai Makan Azizah di Leban Chondong di sini, Nur Azura Sulaiman, 38, hatinya puas setiap kali melihat pengunjung mengopek kulit undang galah yang merah menyala selepas dimasak dan menghisap kepala udang galah.
Demi memastikan bekalan udang galah mencukupi semasa PRK, Nur Azura terpaksa menghentikan sementara jualan udang galah mentah.
“Setiap hari saya menggunakan antara 12 hingga 15 kilogram udang galah. Jumlah ini meningkat pada hujung minggu, malah pernah menjangkau ke 100 kilogram.
“Sebab itu, saya buat keputusan lebih baik pastikan bekalan udang ada untuk dimasak pada PRK,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Nur Azura berkata, stok udang galah kini memenuhi ruang simpanan peti sejuk beku di rumahnya dengan bekalannya dihantar oleh nelayan-nelayan kampung sekitar Rompin.
“Masakan udang galah yang paling popular ialah masak tomato, goreng kunyit, masak lemak cili api dan sambal tumis petai selain mee udang. Kalau ditanya apa istimewanya udang galah Rompin, sudah pasti isinya yang pejal dan manis.
“Untuk memasaknya juga tidak memerlukan masa lama selain tidak menggunakan air yang banyak supaya rasa manis udang tidak hilang dalam masakan,” katanya yang mendapatkan bantuan beberapa saudara untuk membantu di kedai pada PRK nanti.
Nur Azura yang mula berjinak-jinak dengan masakan udang galah sejak di bangku sekolah berkata, udang galah dibahagikan mengikut gred, iaitu ‘double A’ untuk saiz paling besar, gred A untuk besar dan saiz B untuk bersaiz sederhana.
Sementara itu, peraih udang galah Badrulsham Talib Ali, 43, berkata, dia telah mula menyimpan udang galah sejak dua minggu lalu, memandangkan bekalan udang galah agak kurang kerana di luar musim.
“Musim udang galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii ialah sekitar November hingga akhir Februari atau awal Mac,†katanya.
“Udang galah boleh kekal segar sehingga sebulan lamanya, jika disimpan dengan cara yang betul. Ia perlu dicuci bersih dan dikeringkan sebelum dimasukkan dalam plastik dengan berhati-hati supaya tidak mematahkan sepit birunya,” kata beliau.
Badrulsham berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan pencari udang galah, ialah Sungai Rompin, Sungai Pontian, Sungai Endau dan Sungai Sabak manakala umpan yang sering digunakan ialah cacing dan umpun-umpun.
Beliau berkata, walaupun rumahnya tidak putus-putus menerima bekalan udang galah, beliau sekalipun tidak pernah terliur untuk menikmatinya.
“Mungkin sudah jemu kerana diberi makan udang galah sejak kecil,” katanya secara berseloroh.
– BERNAMA