KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan terus memperkemas prosedur operasi standard (SOP) program subsidi beras Super Tempatan (ST) 15 bagi mengelak ketirisan.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa SOP untuk menambah baik program berkenaan telah diperkemas sebelum ini terutama yang melibatkan penyelewengan penjualan beras.
“Kalau dulu segala keputusan untuk kuota ST15 ditentukan oleh bahagian Industri Padi dan Beras (IPB), tapi kini oleh kerana takut ada penyelewengan, kita wujudkan jawatankuasa untuk nilai pemohon-pemohon untuk jadi pengedar atau pemborong beras ST15 ini.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh KSU (Ketua Setiausaha) sendiri dan segala permohonan akan diakses oleh pengarah-pengarah atau pegawai kawal selia di negeri-negeri,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Isnin.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini meminta kementerian itu agar menggantung sementara program subsidi beras ST15 memandangkan program berkenaan tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata program itu boleh diteruskan apabila kementerian terbabit mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan program subsidi itu dinikmati golongan sepatutnya.
Ismail Sabri berkata mulai tahun lepas beras ST15 tidak lagi dijual di pasar raya besar berikutan dakwaan berlaku ketirisan sehingga membolehkan warga asing membeli beras itu.
“Saya arahkan ia dijual di kedai-kedai, kampung, felda-felda, flat kos rendah dan agro bazar dan sebagainya, namun, walaupun ada sekatan, tentunya ada ketirisan,” katanya.
Mengenai saranan PAC agar menggantung sementara program subsidi beras ST15, Ismail Sabri berkata tindakan itu akan menjejaskan ramai golongan berpendapatan rendah yang selama ini bergantung kepada program itu.
“Kita akan lihat secara ‘terperinci’ bagaimana nak perkemaskan supaya ketirisan itu dapat kita kurangkan. Kesimpulannya, jangan kita batalkan kalau ada sesuatu masalah, tapi kita perbaiki supaya masalah itu dapat dikurangkan,” katanya. – BERNAMA